Sabtu, 16 Mac 2013

Carilah Keredhaan, Bukan Kemurkaan


Carilah Keredhaan, Bukan Kemurkaan
Oleh:
Balqis Azwa

            Lumrah kejadian manusia, memerlukan pasangan untuk berkasih sayang, perlukan perlindungan, dan lain-lain lagi, sesuai dengan firman Allah Taala, maksudnya:

            Maha suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan, sama ada ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. (QS.Yasin: 36).

            Ayat ini menunjukkan bahawa segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah swt, semuanya berpasang-pasangan, baik dari tumbuh-tumbuhan, manusia mahupun ciptaan lainnya yang tidak diketahui oleh manusia. Sungguh hebat ciptaan Allah!

            Allah swt juga menjadikan manusia berpasang-pasangan. Akan tetapi, janganlah kita mengabaikan persoalan tentang perasaan dan soal hati. Ia sering membuatkan kita terbuai dengan hasutan syaitan yang sentiasa mengheret dan mengajak kita ke lembah kehinaan. Bak kata pepatah, jodoh (pertemuan), ajal, rezeki, syurga dan neraka semuanya telah ditetapkan oleh Allah swt.

            Namun, semua itu bukan mudah untuk kita menerimanya. Manusia mempunyai berbagai ragam sifatnya. Ada yang suka meluahkan perasaan kepada orang lain, ada yang mengambil sikap memendam perasaan. Namun, sebaiknya biarlah Allah swt dan dia yang tahu. Seandainya di hati sudah tumbuh perasaan minat atau cinta, adalah lebih baik mengelakkan diri dan menjauhkan diri daripada hal tersebut, kerana takut dikecewakan. Suka ingin bertepuk, kecewa tak berbunyi!

            Fenomena yang terjadi sekarang ini (termasuk juga mahasiswa/i), ramai pasangan yang ber-couple, leka dan lalai dalam kehidupan yang mereka alami. Mereka sering menganggap pasangan mereka itulah yang akan menjadi pasangan hidup hingga ke gerbang perkahwinan. Tak dinafikan ada. Namun kebanyakkan gantung tidak bertali yang akhirnya kecewa yang tidak berkesudahan.

            Percintaan sewaktu di alam kampus, ramai yang tersungkur, pelajaran entah ke mana, kerana asyik dengan pencintaan, dan rasa ingin di cintai. Berkhayal ke alam cinta yang penuh dosa dan noda. Sangat membuang waktu. Bak kata orang, zaman percintaan ini manis, mudah menabur janji tapi payah untuk menunaikan, Mudah memberi harapan tetapi tidak bertanggungjawab. Dan akhirnya, ramailah yang mendapat gelaran munafik. Kerana mereka telahpun mengikut kata dan tunjuk ajar dari musuh kita sendiri, syaitan dan hawa nafsu!

            Tahukah anda, jarang orang yang ber-couple ini sampai ke gerbang pekahwinan. Jika ada yang ke gerbang perkahwinan, ia tidak ramai dan kekal kerana sudah bosan dan muak, sudah semuanya diceritakan ketika zaman bercinta!

            Kenapa zaman perkahwinan lesu dan tidak bahagia? Tanyalah pada diri anda, dimana letaknya keberkatan. Sepertimana yang disebut oleh Ustaz Azhar, “jangan kamu fikir dosa yang kamu couple sudah hilang bila kamu sudah berkahwin, dosa itu akan kamu bawa”, Bagi yang sedang dalam proses berubah ke arah kebaikan, sentiasa berdoalah kepada Allah swt agar diberi kekuatan, untuk kekal dan istiqamah dalam berjuang untuk mendapatkan keredhaan-Nya dan sentiasalah minta keampunan dari-Nya.

            Bagi pandangan saya, urusan jodoh dan perasaan, serahkanlah kepada Allah, saya juga manusia biasa. Tidak dinafikan, memang sukar untuk mengawal perasaan tersebut, tetapi saya mencuba untuk sentiasa menyibukkan diri untuk lari dan mengelak dari mengingati hal-hal tersebut.

            Saya juga mendambakan seorang yang mampu memimpin untuk membaiki diri ini, tidak mengharapkan sama sekali, seseorang yang membuatkan saya lalai dan leka, terbuai-buai dengan dunia yang fana, yang keindahannya hanyalah sementara!

Jika tidak mampu melawan perasaan itu, kawinlah sahabatku itu yang terbaik untuk kamu, mintalah restu dari kedua ibu bapamu, Jika belum mampu untuk menikah, berpuasalah! Sesuai dengan dengan sabda Nabi saw:

            Abdullah Ibnu Mas’ud Radliyallahu’anhu berkata: Rasulullah Shallaahu’alaihi Wa Sallam bersabda pada kami: “Wahai generasi muda! Sesiapa diantara kamu telah mampu, hendaknya ia bernikah, kerana ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa belum mampu hendaklah dia berpuasa, sebab ia dapat mengendalikanmu.” (Muttafaqun Alaih).

            Wahai sahabat seperjuangan, (Insya Allah) kita semua bakal ke gerbang perkahwinan, kita semua mengimpikan anak yang soleh dan solehah bukan? Justeru itu kita perlu menunjukkan contoh yang baik untuk anak kita yang akan datang. Jika kita melakukan perkara yang dibenci Allah, maka generasi yang akan lahir nantinya, akan lebih parah daripada kita, dan waktu itu sudah terlambat untuk kita sesali.

            Jika tidak mampu untuk perbaikinya, mintalah dorongan dari keluarga dan kawan untuk mengawal perasaan, sibukkanlah diri dengan mempelajari ilmu agama dan perkara yang berfaedah. Serahkanlah urusan ini pada Allah swt, berdoalah kepada Allah swt, itulah kunci bagi orang yang benar-benar beriman. Allah Maha Mandengar doa dari hamba-Nya, Allah swt tahu apa yang terbaik untuk kita, “Bukan semua yang menggembirakan hati kita baik untuk kita. Kadang-kala, yang menggembirakan itu tersembunyi derita. Dan bukan semua yang memualkan hati kita tidak baik untuk kita. Kadang-kala di situlah letaknya bahagia. Tak semua langit, cerah dan tak semua mendung, hujan.”

            Solat istikhorah juga penting untuk meminta pertunjuk dari Allah. Yakinlah! jika dia bukan jodoh kita, pasti ada yang lebih baik dari Allah untuk kita. Jika mencintai sesuatu karena Allah, maka pasti ada bahagia menanti.

            Jika mencintai sesuatu karena nafsu, yang ada hanya luka dan kekecewaan. Cintailah kerana Allah bukan kerana harta, bukan keturunan , bukan kecantikkannya tapi kerana agamanya, jika sempurna agamanya, insyaAllah kita akan kekal dan bahagia.

Mencintai kerana harta, harta akan habis, bagi saya harta boleh dicari bersama-sama, kata ibu saya berdirilah pada kaki sendiri jangan berdiri dikaki orang artinya jangan menharapkan harta orang!

            Mencintai manusia kerana keturunan tidak akan bahagia kerana mereka membanggakan diri dan membuat kita menjadi takabur, manakala mencintai manusia kerana kecantikkan (paras rupa) membuatkan kita merana, ada saja yang membuatkan kita sentiasa cemburu dan sakit hati , hatta bimbang pasangan kita curang.

            Cintailah kerana agamanya kerana ini mampu memimpin kita kearah kebaikkan, dengan agama mampu membina keturunan yang baik, kekayaan budi pekerti lebih baik daripada kekayaan yang sementara dan kecantikkan rohani lebih baik dari kecantikkan yang bertalam dua muka. Andai mendapatkan semuanya itu lebih baik. Moga artikel ini memberikan manfaat yang berguna bagi kalian dalam mencari keredhaan daripada Illahi ....renung-renungkanlah! J